Search This Blog

Wednesday, December 11, 2019

5/2018~Kehilangan

Assalamualaikum wbt

Draf setahun yang lalu.. dan sekarang 2019 pula akan melabuhkan tirainya juga..

Taip separuh dah merembes air mata tak dapat nak teruskan penceritaan. Maka ku update juga lah dalam blog sebagai kenangan...

Dah lama blog ini terbiar kosong sepi tanpa bicara.

Nak dibiarkan sayang.

Buka tutup buka tutup tiada idea ingin melontar kata.

Ingin mencoret segala terbuku dihati tetapi hati belum cukup kuat waktu itu.

2018 akan berlalu beberapa minggu lagi.

Yang pastinya banyak kenangan pahit manis yang terjadi dalam tahun ini.

Yang manis boleh disimpan untuk diingat di masa datang.

Tak lupa juga yang pahit walaupun sukar untuk ditelan tetapi terpaksa ditempuh juga. Dan akan terpahat diingatan ini setiap waktu.

Jumaat, 8 Syawal 1440H, 3.25 am. Aku kehilangan seseorang yang ku panggil ayah.
Penguat semangat kami 7 beradik. Ayah yang selalu memberikan sokongan terhadap anak-anaknya. Kini pergi buat selama-lamanya untuk bertemu Sang Pencipta. Pemergian yang tidak disangka.

Perit. Pedih. Sakit. Sebak. Sedih. Amat sedih. Sedih memikirkan tiada lagi insan yang kupanggil ayah. Tiada lagi Tok Ayah untuk anak-anakku.

Sebak.

Syawal tahun ini kami menyambutnya di kampung ayahku di Pasir Puteh. Oleh kerana pada bulan September tahun lepas ayahku menyatakan hasrat untuk pulang menetap di kampungnya setelah beberapa puluh tahun tinggal di Kota Bharu.

Terkejut dengan keputusannya tetapi terpaksa akur kerana kerana ayahku sudah membuat keputusan.

Terasa berbeza pulang ke kampung untuk beraya. Dan tahun ini aku tak sempat bergambar bersama ayahku. Sedih jika diingat. Tiada kenangan itu.

Pada 8 Syawal pukul 2.30 pagi, tersedar dari tidur mendapat panggilan dari kakak ku mengatakan ayah sakit. Sakit perut. Sakit yang biasa dialami oleh ayahku jika dia salah makan.

Tetapi kedengaran cemas dan kakakku menberitahuku bahawa dia tengah mengemas untuk pulang menjenguk ayahku memandangkan abangku yang tinggal di Machang telah membawa ayahku ke hospital.

Terus kukejutkan suamiku dan memberitahu berita tersebut dan aku juga nekad untuk pulang ke kampung. Kemas beg pakaian kami dan anak-anak dan sambil itu aku call adikku bertanya keadaan ayahku yang telah sampai di hospital.

Betapa berdebarnya dan takutnya hati dan perasaanku pada ketika itu kerana adikku menangis mengatakan dia takut. Aku cuba untuk bertenang dan menyuruhnya juga bertenang dan mengatakan ayah tiada apa-apa memandangkan ayah sakit biasa-biasa sahaja.

Setelah siap mengemas dan mengangkat anak-anak yang masih tidur, kami pun turun ke kereta dan aku pada masa itu masuk semula ke rumah untuk mengambil tuala. Pada masa itu terdengar telefon ku berbunyi dan suami mengangkat. Dia hanya berkata ok ok.

Setelah itu aku bergegas keluar dan bertanya siapa call? Suami ku memberitahu abangku yang call. Dari raut wajahnya aku tahu sesuatu berlaku. Aku tanya kenapa. Suami cakap, yang, ayah dah takde.

Allahuakbar..

Masa tu aku rasa macam tak percaya, macam bermimpi. Rasa macam waktu berhenti.
Anak-anak dah berada dalam kereta masa tu.
Aku masuk ke dalam bilik tidur dan menangis sekuatnya.
Aku hanya ingin menangis dan menangis.
Menangis memanggil nama ayahku.
Kenapa ayah pergi tinggalkan kami.
Kenapa ayah tak tunggu kami.
Sedihnya Allah sahaja yang tahu.

Suami masuk ke rumah memegang aku. Memimpin aku masuk ke kereta. Aku terus menangis tidak menghiraukan anak-anakku yang telah pun sedar.

Hairan barangkali melihat mamanya yang agak kurang waras masa itu menangis meratap memanggil nama ayah.

Suami ku hanya berdiam diri memandu kereta. Setelah reda, aku terus call kakak aku. Bertanya pada dia bahawa betul ke berita ni. Kakak ku juga menangis.

Lagi sekali aku bertanya pada kakakku kenapa ayah tinggal kita.

Kenapa ayah tak tunggu kita.

Hanya tangisan saja mengiringi perbualan telefon kami.

End of story.. Sedih.

********************************************